Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Seorang pemerintah tentera laut Amerika Syarikat berkata bahawa kekuatan ketenteraan gerakan Ansarullah Houthi di Yaman telah meningkat dan para pejuang mereka kini memiliki persenjataan baharu yang tidak dimilikinya sebelum campur tangan Arab Saudi ke atas negara jirannya itu.
Gerakan Houthi dan sekutu mereka di kalangan tentera Yaman seringkali melancarkan serangan roket ke atas beberapa sasaran yang terletak di dalam Arab Saudi sendiri. Mereka juga pernah menyasarkan kapal perang Amerika Syarikat sebanyak tiga kali di Laut Merah pada tahun 2016.
Pada Januari lepas, mereka juga telah mengemudikan bot kawalan jauh yang dimuatkan dengan bom ke arah sebuah kapal frigat milik Arab Saudi sekaligus membunuh dua anak kapal dan mencederakan tiga yang lain. Insiden itu berlaku di perairan berdekatan bandar pelabuhan Hudaydah.
Dengan merujuk kepada keupayaan di atas, Timbalan Laksamana Kevin Donegan pada awal minggu ini memberitahu Reuters, "Senjata ini dahulunya tidak wujud (di Yaman)... sebelum perang bermula. Dahulunya, tiada bot yang dimuatkan dengan bom di dalam simpanan (senjata) pihak Yaman."
Dia turut menyatakan bahawa roket balistik yang dilancarkan ke wilayah Arab Saudi memiliki julat operasi yang lebih besar berbanding dengan apa yang pernah dimiliki oleh pihak Yaman sebelum Arab Saudi melancarkan perang ke atas mereka.
Seorang pegawai kanan tentera Emiriah Arab Bersatu mengulangi komen Donegan dengan berkata, "Kami terserempak dengan UAV, roket anti-kereta kebal dan anti-kapal serta periuk api di darat dan laut."
Penentangan sengit yang ditunjukkan oleh pejuang Houthi telah mengejutkan Arab Saudi yang dilengkapi dengan persenjataan moden. Para pemerhati berkata bahawa Riyadh bukan sahaja telah gagal mencapai objektifnya di Yaman, mereka bahkan tidak mampu untuk menarik diri daripada konflik itu dengan penuh terhormat.
/315
29 April 2017 - 15:20
News ID: 826745
Seorang pemerintah tentera laut Amerika Syarikat berkata bahawa kekuatan ketenteraan gerakan Ansarullah Houthi di Yaman telah meningkat dan para pejuang mereka kini memiliki persenjataan baharu yang tidak dimilikinya sebelum campur tangan Arab Saudi ke atas negara jirannya itu.